Sunday, May 22, 2011

WAYANG KULIT KELANTAN

______________________




Pengenalan WAYANG KULIT

Wayang Kulit merupakan satu bentuk teater tradisional boneka yang menggunakan prinsip cahaya dan bayang. Bayang-bayang daripada patung-patung kulit yang terdiri daripada pelbagai watak mitos dan khayalan digerakkan oleh seorang dalang. Persembahan wayang kulit diiringi dengan satu kumpulan pemuzik. Muzik yang dimainkan membantu menghidupkan lagi watak-watak dan menggambarkan suasana dalam adegan yang berlaku.

Sejarah

Teater tradisional Wayang Kulit telah wujud sejak lama dahulu bukan sahaja di Malaysia malahan terdapat juga di beberapa negara lain seperti di Thailand, Indonesia , Turki, India, Jepun, Kemboja dan China. Namun demikian, setiap negara mempunyai bentuk dan gaya persembahan wayang kulit yang tersendiri di mana terdapat perbezaan dari aspek ukiran patung-patung yang digunakan dalam persembahan dan juga peralatan muzik yang mengiringinya.

Sehingga ke hari ini, sejarah masih tidak dapat membuktikan dengan jelas dan tepat tentang asal usul Wayang Kulit Kelantan. Ada pendapat mengatakan bahawa wayang kulit berasal dari India dan dibawa masuk ke Kelantan dan Asia Tenggara amnya melalui pengaruh Hindu ketika itu.

Persembahan Wayang Kulit dibawa masuk ke Malaysia pada tahun 1400 hingga 1500 Masihi dan mula dipersembahkan di Kelantan sejak pemerintahan Long Senik Mulut Merah yang juga dikenali sebagai Sultan Muhamad II, yang memerintah antara tahun 1837/8-1886.

Antara wayang kulit yang terdapat di Malaysia ialah Wayang Kelantan, Wayang Purwo dan Wayang Gedek. Wayang Kelantan terdapat di Kelantan dan negeri-negeri Pantai Timur yang mempersembahkan cerita-cerita Hikayat Seri Rama. Wayang Purwo pula terdapat di bahagian Selatan Pantai Barat Semenanjung terutamanya di Johor yang mengetengahkan episod dari kitab Mahabrata dan cerita Panji. Wayang kulit Gedek terdapat di Utara Semenanjung Malaysia.

Ciri-ciri

Wayang kulit digolongkan dalam kategori teater tradisional. Antara ciri teater tradisonal yang jelas dapat dilihat dalam wayang kulit ialah;

· ceritanya yang lengkap,

· watak-watak dan peranan yang dimainkan diwakili oleh patung-patung

· memasukkan unsur teater yang lain seperti mesej yang jelas, latar, dialog, muzik iringan, lagu-lagu dan gerak serta aksi patung yang memainkan peranan manusia dalam cerita tersebut.

· kemahiran permainan wayang kulit diperoleh melalui pembelajaran tidak formal yang dipelajari secara mulut ke mulut atau dari satu generasi ke satu generasi.

Fungsi Wayang Kulit

Antara fungsi wayang kulit ialah:

· sumber hiburan bagi memeriahkan sesuatu sambutan atau sebagai pertunjukan di pesta-pesta. Pertunjukan wayang kulit juga melambangkan kekayaan khazanah warisan.

· upacara menyembuhkan sesuatu penyakit yang dialami dan berkaitan dengan unsur roh dan alam semula jadi. Sebelum ketibaan Islam masyarakat dahulu juga percaya bahawa melalui wayang kulit, seseorang boleh menyatakan kesyukuran kepada makhluk-makhluk alam ghaib, semangat dan unsur-unsur alam yang lain. Ada juga pemahaman anamisme yang percaya dengan persembahan yang bertujuan untuk menolak bala atau mengelakkan penyebaran sesuatu penyakit yang melanda.

· alat menyebarkan pengajaran atau mendidik masyarakat.

Pernah dikatakan wayang kulit digunakan oleh Wali Songo untuk menyebarkan ajaran Islam.

· bahan bantu mengajar di dalam bilik darjah.

· mempromosikan Malaysia dalam sektor pelancongan.

Cara Persembahan

Pentas dan Kelir

Pada era 50an dan awal 70an, pentas wayang kulit dibina daripada tiang-tiang kayu dengan dinding buluh dan atap yang diperbuat daripada rumbia atau nipah. Lazimnya, pentas ini berketinggian tiga atau empat kaki daripada tanah dan merupakan sebuah pondok yang boleh menempatkan dalang, pemuzik dan alat-alatan untuk persembahan wayang kulit. Bahagian hadapan pentas ini dipasang dengan sebidang kain putih yang dipanggil kelir. Pada bahagian belakang kelir ini digantung sebuah lampu sama ada lampu minyak tanah atau pelita. Masa kini, persembahan wayang kulit telah mengalami beberapa perubahan antaranya dipersembahkan dipentas terbuka dan menggunakan lampu elektirk. Cahaya daripada lampu inilah yang memantulkan bayang-bayang patung wayang kulit kepada kelir untuk ditonton dari bahagian hadapan pentas. Patung-patung wayang kulit akan dicacak di atas batang pisang.

4 comments:

  1. Gud evening Ayahanda,tq sebab adakan blog ini.Ia sangat membantu hahax. Saya tengah cari maklumat wayang kulit untuk folio wayang kulit.

    ReplyDelete
  2. hai!thank you ya sebab adakan blog ni.sedang buat folio tentang struktur dan teknik persembahan dalam wayang kulit.thank you sekali lagi^^.bye

    ReplyDelete
  3. This comment has been removed by the author.

    ReplyDelete
  4. Good sharing. Thank you so much yaa 😀

    ReplyDelete